Thursday, November 25, 2010

Mewarnai Hidup Tatkala Musibah


Dalam hidup ada ketika-ketikanya anda diterjah kehairanan, “Mengapa aku, orang lain tidak?” Terutama tatkala anda dilanda masalah, “Laa, banyak-banyak orang, kenapa aku yang accident nie?”
Hidup ini penuh dengan pelbagai perkara. Ada gembira ada sedih, ada menangis ada tertawa, ada jujur ada curang, ada keji ada pujian. Pendek kata hidup penuh dengan hal-hal yang tidak terduga oleh kita. Tak semua yang kita harap akan menjadi seperti yang kita harapkan, tak semua yang kita cuba hindari mampu kita hindari , tak semua  yang kita takuti tidak akan kita temui.
Selagi namanya hidup ia penuh dengan warna. Adakalanya berwarna hitam, ada kalanya berwarna cerah, ada kalanya berwarna garang, ada kalanya berwarna suram. Begitulah hidup.Kelemahan kita ialah kita tidak dapat menjangka warna apa yang akan kita tempuhi kelak.
Maka dalam mendepani takdir, anda perlu sentiasa ingat setiap kejadian menyimpan hikmah, tidak  kira apakah kejadian itu membahagiakan atau mendukacitakan. Disini ada beberapa tips dalam mewarnai hidup kita tatkala musibah menghampi.
1


Tatkala anda ditimpa musibah
Sentiasalah ingat firman Allah ayat 2-3 dari Surah Al-Ankabut, maksudnya “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, “Kami  telah beriman ,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya KAMI telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahuimorang dusta.”
2


Tatkala anda tidak mendapat apa yang anda mahu
Bukan semua yang kita mahu kita akan mendapatnya. Banyak perkara dalam hidup ini tidak akan mampu kita gapai.Misalnya, kita boleh berangan-angan menjadi puteri raja yang hidup serba mewah, tak mungkin kita akan mendapatkannya sebab kita bukan berdarah raja. Kalau kita berdarah raja pun sistem kehidupan sekarang tidak memungkinkan hal demikian terjadi. Dalam keadaan sebegini ingatlah firman ALLAH dalam surah Al-Baqarah ayat 216 maksudnya, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak menegtahui.”
3


Tatkala anda berasa sesak nafas kerana ditimpa uijian berat
Sebenarnya setiap ujian yang menimpa sesuai untuk individu-individu yang menerimanya.Ujian tidak ditimpakan kepada orang yang lemah. Untuk apa lagi ujian kepada orang lemah.Sudah pasti dia tidak akan mampu memikulnya. Jadi, setiap ujian hanya akan ditimpakan ke atas bahu orang yang sanggup memikulnya sahaja atau kuat berdepan dengannya, Lihat firman Allah, “Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”Surah Al-Baqarah 286. Ini membuktikan kita sentiasa ada kekuatan untuk mendepani apa jua musibah yang datang dalam hidup.
4


Tatkala anda rasa cukup frust
Gantikan rasa frust itu dengan langkah-langkah yang bijak ke arah kecemerlangan.Hidup penuh dengan hipokritnya.Jika anda rasa frust disebabkan oleh seseorang, anggap itu aset atau pencetus diri anda untuk bangun dan berjaya. Firman Allah, “Janganlah kamu bersikap lemah, dan jangan  kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman.” Al-Imran, 139
5


Tatkala anda rasa hilang harapan
Harapan sentiasa bersama orang yang berharap. Harapan juga sentiasa ada bersama orang yang tidak memutuskan hubungannya dengan Allah.
‘Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal.” At-Taubah 129.Justeru, jadikanlah keluarga kita tempat berkasih sayang, saling memerlukan, saling membina sejahtera untuk menuju kehidupan yang abadi lantaran daripada siapa lagi kita merujuk apabila ditimpa musibah kalau tidak keluarga kita.
Dengan sedikit tips di atas kami harap anda dapat mengamalkannya sedikit sebanyak ketika musibah melanda.

Monday, November 22, 2010

Ucapan Keramat

Tidak perlu lipstik ataupun lipgloss untuk melembapkan bibir kita semua tetapi hanya ucapan-ucapan dibawah sudah cukup untuk segala-galanya..Jadi amalkan lah selalu tidak kira di mana jua berada..insyaALLAH
=============================
1 – Perkataan SUBHANALLAH
Ertinya ialah : ” MAHA SUCILAH ALLAH “
Ianya diucapkan tatkala kita melihat sesuatu perkara yang menggembirakan kita ataupun perkara-perkara yang hebat lagi ajaib . Contohnya tatkala kita melihat orang yang tidak cedera walaupun terlibat di dalam kemalangan .
Tujuan kita mengucapkan “ SUBHANALLAH “ iaitu seolah-olah kita mendidik diri kita : “ Wah ! hebatnya orang itu , tak cedera langsung . Tapi Allah lebih Maha Hebat kerana itu semua tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah Ta’ala “ .
Ianya diucapkan juga apabila kita melihat ada apa-apa perkataan ataupun perbuatan yang menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah . Contohnya kita ucapkan “ SUBHANALLAH “ apabila melihat ada orang yang menyembah berhala-berhala . Di dalam hati kita ketika itu seolah-olah kita berkata : “ Allah Ta’ala Maha Suci dan tiada kena-mengena langsung sebagai Tuhan yang mereka anggap itu “ .
Lihatlah firman Allah Ta’ala berikut :
Ertinya : “ Dialah Allah yang tidak ada sama sekali Tuhan yang layak disembah kecuali Dia Yang Maha Berkuasa , Maha Suci , Maha Selamat , Maha Memberi Keamanan , Maha Peneguh , Maha Mulia , Maha Gagah-Perkasa , Maha Besar , Maha Sucilah Allah daripada apa yang mereka sekutukan “ ~ Surah al-Hasyr : ayat 23
Lihat penggunaan “ SUBHANALLAH “ ataupun yang semakna dengannya melalui ayat Al-Quranul Karim di bawah ini :
Ertinya : “ Maha Sucilah Tuhan yang telah memperjalankan hamba-Nya di waktu malam ( Israk ) dari Masjid al-Haram ( di Mekkah al-Mukarramah ) ke Masjid al-Aqsa ( di Palestin ) yang telah Kami berkati sekitarnya , agar Kami menunjukkan kepadanya ( Nabi Muhammad s.a.w ) beberapa tanda kekuasaan Kami . Sesungguhnya Dia ( Allah ) adalah Tuhan Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat “ . ~ Surah al-Israk , ayat 1 .
Ya ! , peristiwa Israk-Mikraj adalah satu peristiwa yang ajaib lagi hebat , namun sehebat-hebat peristiwa itu , lebih hebat lagi Tuhan yang telah mengatur dan mencipta peristiwa itu , Tuhan itulah Allah Ta’ala Yang Maha Hebat , Yang Maha Mendengar segala doa Nabi-Nya s.a.w dan tohmahan puak-puak yang tidak mempercayai kisah itu dan Maha Melihat segala-galanya . Dan Maha Sucilah Allah drp segala sifat-sifat yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada Dia .
Ucapan “ SUBHANALLAH “ ini juga dikenali sebagai “ TASBIH “ .

2 – Ucapan “ ALHAMDULILLAH “

Ertinya : “ Segala puja-puji hanyalah untuk Allah “ ataupun “ Segala syukur dan terima kasih hanyalah untuk Allah “ .
Ianya diucapkan sebagai puja-pujian dan bersyukur di atas segala nikmat yang Allah Ta’ala berikan kepada kita .
Contoh ayat Al-Quranul Karim yang menerangkan hal ini ialah :
Ertinya : “Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka; mengalir di bawah mereka sungai-sungai dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada (surga) ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk kalau Allah tidak memberi kami petunjuk. Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami, membawa kebenaran.” Dan diserukan kepada mereka: “ltulah surga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan ” ~ Surah al-‘Aaraf , ayat 43 .
Ayat di atas menerangkan nikmat yang diperolehi oleh orang-orang yang beriman kelak di hari akhirat iaitu nikmat mendiami syurga yang dijanjikan kepada mereka dahulu . Lihat ! , para penghuni syurga nanti akan mengucapkan “ ALHAMDULILLAH “ sebagai berterima-kasih dan bersyukur di atas ganjaran yang Allah Ta’ala berikan kepada mereka dan disebabkan Allah Ta’ala telah mengutuskan kepada mereka wahyu dan panduan melalui Para Rasul a.s .
Kita juga wajib mengucapkan syukur kepada Allah Ta’ala di atas nikmat sampainya Islam kepada kita dan masih ramai lagi para ulama’ rh , kerana tanpa Islam dan bimbingan para ulama’ rh , tidaklah kita layak masuk ke dalam syurga Allah Ta’ala kelak .
Lihat lagi firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Kahf , ayat pertama :
Ertinya : “ Segala puja-puji hanyalah untuk Allah (Tuhan ) yang telah menurunkan kepada hamba-Nya kitab dan tidak pula Allah ciptakan baginya ada sebarang kebengkokan ( pertentangan dan perselisihan di antara satu ayat dengan ayat yang lain ) “ .
Kita juga wajib bersyukur kepada Allah Ta’ala di atas nikmat adanya kitab Al-Quranul Karim sebagai panduan hidup kita , yang mana tanpanya , pastilah kita tidak akan menemui kebenaran dan kejayaan di dunia dan di akhirat .
Selain itu ianya diucapkan apabila kita dipuji , contohnya apabila orang memuji kita lantaran kejayaan kita , lalu kita pun menjawab : “ Alhamdulillah , saya berjaya “ ( Diucapkan ucapan “ Alhamdulillah “ agar kita tidak lupa bahawa sehebat mana pun usaha kita , ianya tentu tidak akan berjaya jika tidak diizinkan oleh Allah Ta’ala ) .
Ucapan “ ALHAMDULILLAH “ ini juga dikenali sebagai “ TAHMID “ .

3 – Ucapan “ ALLAHU AKBAR “

Ertinya : “ Allah Maha Besar “ .
Ianya diucapkan di dalam beberapa situasi :
1 – Apabila berada di tempat yang tinggi .
2 – Apabila berada di dalam ketakutan .
3 – Sebagai teriakan untuk menakutkan dan menggerunkan musuh-musuh Allah Ta’ala .
4 – Sebagai “ pembakar semangat “ para pejuang Islam .
5 – Ketika azan , takbiratul ihram dan takbir hari raya .
Ucapan ini dikenali juga sebagai “ TAKBIR “ .

4 – Ucapan “ LA ILAHA ILLALLAH “
Ertinya : “ Tidak ada sama sekali Tuhan yang layak diibadati melainkan Allah “ .
Masyarakat Arab biasanya menyebut kalimah ini apabila melihat sesuatu yang menggerunkan ataupun peristiwa yang mengerikan .
Kalimah ini adalah inti-pati dan dasar ajaran Islam . Silalah melihat kitab-kitab zikir dan wirid yang sahih ( seperti RIYADHUS SOLIHIN oleh Al-Imam an-Nawawi rh ataupun KALIMUT TOIYIB oleh Al-Imam Ibnu Taimiyah rh ) untuk mengetahui fadhilat-fadhilat kalimah Tauhid ini.
Ia dikenali juga dengan gelaran “ TAHLIL “ .

5 – Ucapan “ BISMILLAH “

Ertinya : “ Dengan Nama Allah “
Ucapan ini dikenali sebagai “ BASMALAH “
Dilakukan sebagai menunjukkan adab di antara seseorang hamba dengan Allah Ta’ala ketika melakukan perkara-perkara yang diredhai-Nya .
Ertinya di sini ialah : “ Bismillah “ digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah Ta’ala sahaja . Seolah-olah tatkala kita membacanya kita turut sama beriktiqad : “ Aku menyebut nama Allah ini supaya kerja yang aku lakukan ini dirahmati dan diberkati oleh-Nya “ .
Adapun jika digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang , maka ia adalah haram bahkan kadang-kadang boleh membawa kepada murtad kerana dianggap menghina kesucian ataupun mempersendakan Allah Ta’ala . Contohnya :
A – Membaca “ Bismillah “ untuk menyembelih binatang-bintang yang tidak disembelih untuk tujuan yang dibenarkan ( seperti untuk mandi safar , untuk “membuka gelanggang silat “ , untuk “ menyemah “ rumah, untuk “ menjamu “ penunggu dan jin dan sebagainya .
B – Membaca “ Bismillah “ untuk melakukan jampi-jampian yang dilarang oleh agama kita .
C – Membaca “ Bismillah “ untuk “ tikam “ nombor ekor , toto dan lumba kuda serta sebarang perjudian .
D – Membaca “ Bismillah “ ( supaya selamat konon-kononnya ) untuk mengintai orang mandi .
E – Membaca “ Bismillah “ untuk makan dan minum apa-apa yang haram .
F – Membaca “ Bismillah “ kuat-kuat ( agar didengar oleh orang ramai ) ketika membuka warong demi melariskan jualan .

6 – Ucapan “ MA SYAALLAH “
Ertinya : “ Apa yang Allah Kehendaki “
Diucapkan ketika melihat apa-apa yang baik dan indah .
Diucapkan juga ketika melihat perkara-perkara yang luar biasa dan hebat ( sama seperti Tasbih )
Tidak boleh digunakan sebagai ucapan tatkala melihat sesuatu yang dilarang , contohnya menyebut “ MA SYA ALLAH “ ketika melihat wanita-wanita yang berpakaianseksi sebab kalimah itu bermakna “ Apa-apa yang Allah kehendaki “ , sedangkan Allah Ta’ala tidak pernah sama-sekali menyuruh wanita-wanita berpakaian seksi di hadapan bukan suaminya . Dan begitu juga tidak boleh mengucapkan kalimah ini tatkala melihatpelakon-pelakon yang seksi-seksi di TV .
Hati-Hati dan fahami baik-baik penggunakan kalimah dan ucapan ini !!! .
Ucapan ini diistilahkan sebagai : “ AL-MASYIAH “
7 – Ucapan “ A’UZUBILLAHI MINASY SYAITONIR RAJIM “
Ertinya : “ Aku memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam ( terkutuk ) “ .
Diucapkan sebagai memohon perlindungan dan keselamatan kepada Allah Ta’ala daripada segala jenis gangguan , sama ada gangguan syaitan ataupun bala-bencana .
Diucapkan juga sebagai memulakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim .
Ucapan ini digelar sebagai “ AT-TA’AWWUDZ “ .

8 – Ucapan “ LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAH “
Ertinya : “ Tidak adalah daya-upaya dan kekuatan ( yang sebenar / yang terutama ) melainkan dengan izin ( pertolongan ) Allah “ .
Diucapkan apabila melihat perkara-perkara yang tidak disukai ataupun apabila kita tidak terdaya untuk melakukan sesuatu .
Dan diucapkan apabila kita merasai kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri kita seperti sedang berhadapan dengan jumlah musuh yang lebih ramai daripada pihak kita .
Ucapan ini dikenali sebagai “ AL-HAUQOLAH “ .

9 – Ucapan “ INSYA ALLAH “
Ertinya : “ Jika diizinkan Allah “
Diucapkan apabila kita berjanji untuk menyempurnakan hajat seseorang . Ataupun apabila hati kita berat 70 % untuk memenuhi janji itu maka bolehlah kita menyebut “INSYA-ALLAH “ , tetapi jika kita memang tidak mahu memenuhi hajat itu ataupun hati kita memang berat 70 % untuk tidak memenuhinya , maka tidaklah wajar kitamenggunakan kalimah ini . ~ [ Hasil temuramah di antara Al marhum S.S Dato’ Ishak Baharom , Bekas Mufti Selangor Darul Ehsan dengan salah sebuah majalah di Malaysia ].
Ucapan ini dikenali sebagai “ TAWAKKUL “ ( Tetapi masyarakat Melayu memanggilnya sebagai tawakkal )

10– Ucapan “ BARAKKALLAHU FIK “
Ertinya : “ Semoga Allah memberkati engkau “ .
Diucapkan kepada seseorang yang kita cintai ataupun sebagai doa baginya .
Menurut sunnah ucapan yang seumpama ini diucapkan juga kepada mereka yang baru berkahwin .
Ucapan ini dikenali sebagai “ AT-TABARRUK “ .

11 – Ucapan “ JAZAKALLAHU KHAIRAN “
Ertinya : “ Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan “
Ucapan ini sebagai tanda terima kasih kita pada seseorang .
Boleh juga diucapkan dengan “ JAZAKALLAHU KHAIRAN KATSIRAN “ ( Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan yang banyak “ .
Boleh juga diucapkan dengan “ JAZAKALLAHU KHAIRAL JAZAK “ ( Semoga Allah membalas jasa-baikmu dengan balasan yang paling baik ) .
Adalah SALAH dan TIDAK BETUL jika sekadar mengucapkan “ JAZAKALLAHU “ ( Semoga Allah membalasmu…) Membalas dengan apa ??? . Ayat ini jadi ayat tergantung ! .
Apabila kita diucapkan sedemikian rupa , maka respon kita pula ialah : “ JAZANA WA IYYAK “ . Erti respon itu ialah : “ Semoga Allah juga membalas ( kebaikan yang kau ucapkan tadi ) kepada kita semua dan juga kepada dirimu “ .
Ianya dikenali sebagai kalimah “ ASY-SYUKR “

12 – Ucapan “ INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN “
Ertinya : “Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “.
Diucapkan apabila ditimpa sesuatu yang tidak dikehendaki seperti banjir , kemalangan , kecurian dan seumpamanya . ( Walhal orang-orang kita hanya mengucapkannya tatkala mendengar berita kematian seseorang ) .
Firman Allah mengenai ucapan ini : Ertinya : “ Orang-orang yang sabar itu apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata : Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “~ Surah al-Baqarah , ayat 155 .
Ucapan ini dikenali sebagai “ LIL ISTIRJAA’ / TARJIE’“
13 – Ucapan “ HASBUNALLAHU WA NI’MAL WAKIL “
Ertinya : “ Cukuplah bagi kami ini Allah itu sebagai sebaik-baik pelindung / penolong “ .
Diucapkan sebagai tanda kita ini berserah diri dan bergantung harap ( bertawakkal ) kepada Allah Ta’ala semata-mata . Dan ia juga merupakan ucapan “ pembakar “ semangat keberanian orang-orang yang beriman . Contohnya diucapkan tatkala menghadapi serangan musuh.
Firman Allah Ta’ala yang mengisahkan keimanan para sahabat r.a menjelang Perang Badar : Ertinya : Orang-orang yang mentaati Allah dan Rasul itu apabila dikatakan kepada mereka : “Sesungguhnya manusia ( musyrikin Quraisy ) telah mengumpulkanpasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung “ . ~ Surah Ali ‘Imran , ayat 173 .
Ucapan ini dikenali sebagai “ AL-HASBANA


Sekian . Semoga ada manfaatnya .
Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

Thursday, November 11, 2010

motivasi diri untuk motivasi sekeliling.

assalamualikum semua. apa khabar? lama tidak menjenguk disini.. kami kebelakangan ini agak sibuk.. biasalah kehidupan sebagai seorang pelajar, memerlukan kita memberikan komitmen yang tinggi untuk sesuatu perkara. terbaru kami terpaksa bertungkus lumus untuk mengulangkaji pelajaran.. untuk apa? sahabat2 kami, untuk examlah.. apalagi? 

kali ni kita nak bercerita mengenai apa pula ya? 
memotivasikan diri sendiri atau memotivasikan diri orang lain?
pasti, kita motivasikan diri lepas tu secara automatiknya, kita mampu memotivasikan diri orang lain. tak percaya? cubalah try test tengok. 
sahabat: kalau kita memotivasikan diri sendiri, sudah tentu diri kita sentiasa termotivas untuk melakukan sesuatu kan? jadi kalau kita dah memotivasi diri sendiri, orang yang berada disekeliling pun akan sedikit sebanyak ikut motivasi diri diri mereka sendiri kan? 
betulah kata orang, kalau kawan kita baik, kita juga mesti akan menjadi seorang yang baik.. jadi nak berawan tu pilihlah kawan2 yang baik. secara automatiknya kita akan dengan sendirinya menjadi insan2 yang baik2. insyaALLAH. kita manusia hanya mampu merancang, mengusahakan, selebihnya ALLAH yang menentukan untuk kita.. ALLAH yang akan berikan yang terbaik untuk kita. jadi saya menyeru diri sendiri dan diri rakan2, marilah kita melangkah kearah yang lebih positif.. motivasikan diri untuk memotivasikan orang disekeliling.. renungkanlah ye? 

salam sayang dari kami.

Monday, November 1, 2010


Fahami dan hayatilah setiap kata-kata peransang ini semoga anda
dapat menyemarakkan semangat ingin terus berusaha dalam
merealisasikan impian anda.

Sesiapa yang mempunyai kebolehan akan berjumpa landasan yang tepat.
- Charles Cahier

Kejayaan tidak datang kepada manusia yang leka.
- Charles Cahier


Semua yang dicapai oleh manusia dan yang gagal dicapai olehnya
adalah kesan langsung pemikirannya.
- James Allen


Menyimpang seinci, rugi seribu batu.
- Peribahasa Cina



Rahsia kejayaan adalah ketekalan matlamat.
- Benjamin Disraeli



Perbaiki diri anda, tetapi jangan jatuhkan orang lain.
- I. Salanter Lipkin



Pengiktirafan dan ganjaran datang kepada mereka yang menunjukkan
kualiti yang baik dalam perbuatannya.
- Aristotle